Zaky
Askari
“Hutang emas dapat dibayar, hutang budi
dibawa mati.” Begitulah betapa pentingnya untuk kami menegakkan budi pekerti di
kalangan rakyat Singapura. Dalam era globalisasi, saya berpendapat bahawa nilai-nilai
murni semakin hilang bukan sahaja di kalangan remaja-remaja dan budak kecil,
tetapi juga di kalangan orang dewasa. Budi pekerti seperti tidak wujud di dalam
zaman moden ini dan rakyat Singapura menunjukkan dan membesar-besarkan sifat
negatif yang kian dipengaruhi oleh negeri-negeri Barat. Sikap liberalisme yang
popular di negeri Barat bukannya sesuatu yang buruk tetapi, ia dapat
menyebabkan sifat kurang ajar dan kehilangan hormat terhadap mereka yang lebih
tua atau berpihak kuasa. Rakyat Singapura telah mengalami banyak dilema sama
ada untuk bersikap konservatif atau mengikut contoh negara-negara Barat yang
semakin bermaju, Adakah kemajuan ini menjadi sebab atas ketandusan budi pekerti
yang tinggi di kalangan rakyat Singapura dan bagaimana akan kami mencari jalan
keluar untuk masalah ini?
Mutakhir ini, seringkali kami mendengar
berita tentang pergaduhan atau pertengkaran antara dua pihak atas teguran yang
kecil sahaja. Ini amat membimbangkan kerana jikalau keadaan ini berterusan, ia
akan menjadi sebuah kebiasaan dalam kehidupan seharian kami. Kehilangan budi
bahasa di dalam kalangan rakyat Singapura dapat digambarkan oleh sebuah
kejadian, ketika seorang penjual makanan menengking seorang pelanggan akibat dia
membayar untuk makanan dengan nota 50 dolar. Sehubungan dengan itu, ada juga
yang bertengkaran akibat merenung antara satu sama lain. Beberapa kes merenung
ini telah akibat dalam keganasan dan kecederaan dan salah satu daripadanya
adalah ketika seorang pelajar Institusi Raffles ditikam dari belakang selepas
sebuah pertengkaran. Ini hanya melambangkan betapa serius masalah ketandusan
akhlak yang semakin membiak di kalangan masyarakat kami. Sedemikian, kami
haruslah bercapai untuk memartabatkan nilai murni seperti kesabaran dan
pemahaman antara satu sama lain yang diamalkan nenek moyang kami.
Rakyat Singapura kini semakin mementingkan
diri sendiri sahaja tanpa mengambil kisah tentang orang di sekeliling mereka.
Kini, lebih senang untuk mencari sifat negatif berbandingkan nilai-nilai murni
yang ada pada seseorang. Kadar warga tua di Singapura semakin meningkat lagi
dan ini menyebabkan lebih ramai warga emas dihantar ke rumah orang tua dan
dilupakan anak mereka. Bak kata pepatah ‘seperti kacang melupakan kulit’, ramai
daripada golongan muda warga Singapura sudah lupa jasa ibu bapa, atau nenek
moyang mereka dan sanggup menghantar mereka ke rumah orang tua. Warga emas
dikirakan sebagai beban di dalam era moden ini dan dibengkalai oleh anak mereka
sendiri. Justeru, kita sepatutnya membangunkan pendapat yang baru tentang warga
emas supaya tidak kehilangan jasa dan budi, walaupun sedikit sahaja.
Bertitik tolak daripada kenyataan di atas,
tidak dapat dinafikan bahawa warga Singapura tidak kehilangan semua nilai-nilai
murni atau peradaban. Kini, lebih ramai lagi rakyat Singapura yang mengambil
bahagian dalam kerja masyarakatan dan juga membantu badan-badan sukarelawan
untuk mengendalikan program-program sukarela. Di sebuah forum mengenai kerja
kemasyarakatan, ahi parlimen, Puan Halimah Yaacob, juga berkata bahawa
‘walaupun ada lebih banyak ruang untuk menambahbaikan kerja masyarakatan di
Singapura, sifat kesukarelawan semakin kuat di dalam rakyat Singapura’ dan ini
adalah berita yang baik. Sungguhpun demikian, kita haruslah bersikap terbuka
dan berterusan dengan kerja kemasyarakatan, supaya kami dapat memupuk sifat
bergotong-royong ini ke generasi baru kami. Jikalau tidak, kami akan menggali
diri sendiri ke masa depan yang ketandusan budi pekerti yang tinggi.
Bersangkutan dengan hal tersebut, kami
haruslah memikirkan tentang langkah-langkah untuk memupuk budi pekerti ke dalam
rakyat Singapura. Sejak zaman dahulu kala, konsep memindahkan nilai-nilai murni
daripada generasi tua ke generasi muda merupakan konsep yang penting. Tanpa
pemindahan budi pekerti, generasi seterusnya akan sesat, seperti orang buta
kehilangan tongkat. Justeru, salah satu saranan untuk menangani ketandusan budi
pekerti, adalah untuk mementingkan pengajaran sivik moral dan juga pendidikan akhlak
dari nurseri hingga ke menara gading. Para pendidik haruslah meningkatkan lagi
sukatan pelajaran akhlak supaya lebih ramai golongan muda dapat mempraktiskan
amalan-amalan tersebut dan bukan sahaja memahaminya secara akademik. Dengan
pelaksanaan saranan ini, tentu lebih ramai remaja dapat mengamalkan nilai-nilai
murni di dalam kehidupan seharian mereka.
Daripada penerangan di atas jelaslah
bahawa memang benar bahawa rakyat Singapura ketandusan budi pekerti yang
tinggi. Hakikat perkara itu adalah bahawa keruntuhan akhlak di dalam kalangan
rakyat Singapura disebabkan beberapa perkara seperti pengaruh Barat dan sikap
liberalisme di dalam era globalisasi ini. Namun, nilai-nilai murni kami bukan
semuanya hilang dan kami masih boleh lagi mendapat kembali budi pekerti kami
jikalau kami mencuba. Akhirkata, budi pekerti dan jasa kami adalah dua perkara
yang akan ditinggalkan untuk generasi yang akan datang. Jikalau kami kehilangan
nilai-nilai murni kami sekarang, masa depan kami tidak akan mempunyai panduan
untuk kehidupan mereka. Justeru, bak pantun pepatah, ‘Orang gagah pergi
berperang, Terlalu berani lagi perkasa; Gajah mati meninggalkan tulang, Manusia
mati meninggalkan jasa. ‘
No comments:
Post a Comment