Maklum Balas Untuk Karangan
Ekspositori:
Tajuk Karangan: Rakyat Singapura Ketandusan Budi Pekerti.
Bincangkan.
- Kalau mahu mulakan dengan
kata tukilan atau kata mutiara, tolong pastikan bahawa kata-kata tersebut
gramatis dan sesuai mengikut konteks soalan. Ada segelintir pelajar yang
memulakan karangan dengan kekata yang salah. Ini akan menimbulkan tanggapan
negatif yang boleh menjejas markah. Contoh kata-kata mutiara yang sesuai
dan molek digunakan ialah, “Yang kurik ini kundi, yang merah itu saga.
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”. Penting: Kalau mahu mulakan dengan peribahasa, selitkan maksud
peribahasa itu sekali.
- Persoalan harus dinyatakan
dengan jelas. Kalau karangan berbentuk perbincangan, ajukan satu persoalan
di ayat terakhir perenggan pertama. Masih ada beberapa pelajar yang tidak
lakukan perkara yang sangat penting ini. Kamu boleh tulis begini:
Persoalannya, adakah rakyat Singapura benar-benar kehilangan budi pekerti
dek dihanyutkan arus kemodenan zaman yang penuh pancaroba ini?
- Sangat menggembirakan
membaca sesetengah karangan pelajar yang mampu membuat kaitan antara topik
karangan budi perkerti ini dengan karangan tuntutan kebendaan yang pernah
kita buat di awal tahun. Memang ada kaitan rapat antara ketandusan budi
bahasa dan tuntutan kebendaan yang semakin menggila dalam kalangan rakyat
Singapura.
- Ada usaha yang baik untuk
memberikan contoh-contoh yang menunjukkan bahawa sesetengah golongan
rakyat Singapura berbudi bahasa. Ini ditampilkan melalui rancangan seperti
“Catch of the Day” yang ditayangkan di ‘Channel 5’ atau saluran lima.
Berikan contoh-contoh kelakuan yang mencerminkan budi pekerti yang mulia.
Tamsilnya, seseorang yang berbudi pekerti akan menghulurkan bantuan dengan
ikhlas kepada seseorang yang dalam kesusahan, prihatin terhadap perasaan
orang lain, bersikap jujur dan amanah serta bertutur dan berkelakuan
sopan.
- Cuma beberapa orang yang
mendengar arahan cikgu dan telah memberikan beberapa saranan untuk memupuk
kesantusan dalam diri setiap remaja atau pelajar di Singapura. Walaupun
saranan tidak diminta, namun demikian, ada kalanya kebolehan untuk menyelitkan saranan tanpa
menyeleweng boleh membantu pelajar meraih markah yang lebih cemerlang.
- Penutup tidak jelas dan
ada kalanya tiada penutup langsung. Berikan kesimpulan dengan berbalik
kepada soalan. Soalan tentang budi pekerti jadi kamu boleh nyatakan bahawa
benar rakyat Singapura semakin ketandusan budi bahasa. Namun demikian, ada
segelintir yang memantulkan sikap yang murni dan patut diteladani. Usaha
untuk menanam benih akhlak yang mulia merupakan usaha bersama. Setiap
pihak yang bertanggungjawab termasuk pemerintah, ibu bapa dan sekolah
harus menggembleng tenaga untuk memastikan generasi muda mempunyai
tatasusila dan adab yang sopan.
No comments:
Post a Comment