Sunday, September 23, 2012

Karangan Budi (11)


Muhammad Syahid Bin Sulaiman

Rakyat Singapura ketandusan budi pekertiyang tinggi. Bincangkan. Sarankan cara-cara yang berkesan untuk memupuk nilai murni adab dan kesantunan melayu dalam diri setiap pelajar.

“Ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidak”. Begitulah pepatah Melayu yang menunjukkan betapa pentingnya budi pekerti bagi masyarakat Melayu kita. Namun, perkara yang sebaliknya pula berlaku di zaman ini, di mana rakyat kita ketandusan budi pekerti yang tinggi. Banyak perkara yang boleh dipersalahkan kepada kehilangan moral dan kelakuan yang baik dalam menjalani kehidupan kita, tetapi punca-punca yang mendalam adalah arus budaya barat yang mula merayap masuk kepada masyarakat kita, asuhan yang tidak mencukupi pada masa kanak-kanak dan sifat kita yang terlalu mengejarkan pencapaian duniawi.

  Satu punca yang memainkan peranan penting dalam membentukkan karakter kita tentulah adalah pengaruh-pengaruh yang kita terdedah kepada. Pengaruh utama yang secara langsung membuat kita mengetepikan budi pekerti tentulah gelombang budaya barat yang mula menggoyah asas prinsip dan moral kita. Gelombang ini disalurkan ke dalam hidup kita melalui pelbagai medium media seperti televisyen, suratkhabar dan internet. Seringkali apa yang diliputi di akhbar-akhbar atau berita adalah tentang idola dan personality dari tanah barat. Program televisyan juga kebanyakkannya disumberkan dari saluran Amerika kerana mempunyai permintaan hangat dari penonton di sini. Lantaran itu, pengaruh-pengaruh barat, ada yang baik dan ada yang buruk, mula mempengaruhi cara kita menjalankan hidup kita, sehinggakan budi pekerti kita dilupakan. Sebagai contoh, ramai kanak-kanak mula memanggil orang tua mereka dengan nama pertama dan bukan lagi ‘ibu’ atau ‘ayah’. Ini adalah salah satu pengaruh budaya barat yang diambil pakai oleh masyarakat kita dan ia sebenarnya biadap dan tidak menunjukkan hormat kepada orang tua kita. Lantas itu, media harus memainkan peranan dalam menyekat kandungan-kandungan yang kurang sesuai dan mungkin mempunyai implikasi-implkasi buruk kepada masyarakat kita. Namun, pada masa sekarang masalah ini masih harus ditangani kerana arus budaya barat sememangnya membentuk perihal peribadi kita dan dari itu telah melenyapkan budi pekerti kita.

  Di samping itu, kesalahan juga harus ditanggung ibu bapa yang tidak memberi asuhan yang mencukupi dan betul kepada anak-anak mereka. Asuhan yang baik ini penting kerana budi pekerti harus ditanam sejak kecil lagi kerana jika tidak keperibadian yang buruk akan berlanjutan dalam masa dewasa. Namun, ramai ibu bapa yang tidak dapat menawarkan asuhan yang baik kerana terlalu sibuk dengan kerjaya mereka, mencari rezeki untuk keluarga. Selalunya juga, kedua ibu dan bapa harus berkerja untuk menampung kos hidup yang semakin melambung di era ini dan anak-anak ditinggalkan kepada jagaan amah yang di rumah. Amah di rumah tidak dapat menyuntikkan sifat budi pekerti ke dalam kanak-kanak ini kerana tidak mempunyai pengaruh ataupun hubungan yang kuat dengan mereka. Situasi yang amat membimbangkan ini jelas terpancar dengan peningkatannya kes-kes berhubungan remaja yang kurang mementingkan penumpang lain di dalam gerabak Kereta Api Gerak Cepat(MRT) seperti mengambil tempat duduk untuk mereka yang kurang upaya, menghadang laluan pintu MRT dan juga menganggu penumpang lain dengan membuat bising atau aksi-aksi nakal. Tata-tertib yang mudah juga telah diabaikan seperti tidak berbual apabila ada makanan di dalam mulut, tidak meninggikan suara kepada orang tua dan tidak meletakkan kaki ke atas meja. Lantaran itu, untuk mengekang masalah ini daripada bertambah buruk, kita harus menyemarakkan lagi kepentingan dalam menghabiskan masa dengan keluarga. Dengan itu pemerintah juga harus mengimplementasikan cuti yang mencukupi bagi pekerja-pekerja agar mereka dapat meluangkan masa dengan keluarga dan dengan itu dapat memberikan asuhan yang diperlukan kepada anak-anak mereka.

  Lanjutan itu, rakyat Singapura semakin mengagung-agungkan pencapaian duniawi seperti ‘5K’ iaitu Kereta, Kad Kredit, Kondominium, Kerjaya dan Kad Keahlian. Pada zaman sekarang, apa yang dinilai dalam seseorang adalah paras rupa, pangkat  dan harta benda dan ini mengakibatkan mereka mengejarkan semua ini dan lupakan akan budi pekerti. Secara langsung, ibu bapa hanya menggalakkan anak-anak mereka untuk mengejar pencapaian akademik dan tidak mementingkan pembangunan moral seorang anak. Ini kerana pada zaman ini, seorang dipandang tinggi jika berlulusan tinggi atau berharta, tidak seperti dulu di mana budi pekerti memainkan peranan penting dalam menilai darjat seseorang. Dari itu, kita harus mengekang masalah ini dengan melancarkan kempen-kempen budi bahasa di mana objektifnya adalah untuk menyelitkan budi pekerti yang tinggi di kalangan masyarakat kita agar ia menjadi sesuatu yang penting bagi setiap individu. Salah satu contoh yang boleh diikut adalah kempen dengan cogan kata “Budi Bahasa Budaya Kita” yang diterapkan oleh negara Malaysia di mana budi pekerti itu dianggap sebagai budaya mereka dan lantas budi pekerti itu dapat diterapkan dalam setipa individu.

  Natijahnya, memang tidak dapat dinafikan yang masyarakat Singapura ini ketandusan budi pekerti yang tinggi. Namun dalam kita sibuk dengan pencapaian duniawi janganlah kita memperlekehkan kepentingan budi pekerti. Janganlah kita membina individu yang kurang budi pekertinya kerana akhirnya masyarakat ini akan menjadi satu yang tidak bertimbang rasa, kurang prihatin dan lupa akan perihal kemanusiaan. Tentulah kita tidak mahu tinggal dalam sesebuah masyarakat sebegitu di mana kehidupan itu bagaikan ‘setiap orang untuk dirinya sendiri’. Lantas, punca-punca kehilangan budi pekerti ini harus ditangani dengan segera agar masyarakat kita ini dapat  pulih seperti sediakala.   

1 comment:

Anonymous said...

ERY

Perenggan pengenalan:

Pelajar telah memberikan gambaran umum yang agak baik. Misalnya, dia telah menyatakan tentang perkara-perkara yang menyumbang kepada ketandusan budi pekerti dalam kalangan rakyat Singapura. Dia juga telah gunakan peribahasa, ' ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidak' tetapi saya berhemat bahawa ia tidak dijelaskan dan dikaitrapatkan dengan soalan karangan ini. Pelajar tidak mempunyai persoalan yang ketara dan jelas. Dia hanya menyenaraikan perkara-perkara yang akan dia bincangkan dalam perenggan-perenggan seterusnya tetapi dia tidak memberikan soalan yang tepat.

Perenggan isi:

Pelajar telah memberikan gambaran masalah yang cukup terperinci dengan menyatakan bagaimana budaya-budaya dari negara lain mampu mempengaruhi minda rakyat Singapura dan dia telah memberikan budaya Barat sebagai contoh yang banyak mempengaruhi rakyat Singapura. Dia juga telah bersetuju dengan kenyataan yang diberikan. Pelajar telah menerangkan kehendak soalan daripada beberapa faktor dan bukan satu sahaja. Apatah lagi , dalam perenggan mengejar pencapaian duniawi, saya berpendapat bahawa perenggan ini telah dijelaskan dengan baik kerana dia berjaya mengaitkan tuntutan kebendaan dengan ketandusan tatasusila dalam kalangan rakyat Singapura. Penanda wacana yang tepat telah digunakan untuk memastikan peralihan daripada satu perenggan ke perenggan seterusnya lancar.


Perenggan penutup:

Di dalam perenggan penutup, pelajar telah memberikan saranan-saranan untuk menangani masalah ketandusan budi pekerti rakyat Singapura seperti jangan kita memperlekehkan kepentingan budi pekerti dan melahirkan individu yang tidak berbudi bahasa. Namun demikian, dia tidak begitu jelas dalam rumusannya. Pelajar telah memberikan penekanan terhadap isu melalui saranan yang dia telah sebutkan dan dengan mengatakan bahawa tentulah kita mahu tinggal dalam sesebuah masyarakat sebegitu di mana kehidupan itu bagaikan ‘setiap orang untuk dirinya sendiri’.