Ery Rizly
Rakyat Singapura ketandusan budi
pekerti yang tinggi. Bincangkan.
Dalam arus kemodenan ini, ramai yang
telah menganggap bahawa rakyat Singapura telah hilang sifat bertatasusila kerana
telah menyaksikan pelayanan kita yang tidak begitu mesra di seluruh negara.
Namun demikian, ada rakyat yang tidak akan bersetuju dengan pernyataan ini dan
akan membantah dengan berkata bahawa Singapura mempunyai antara industri
pelayanan yang terunggul di marcapada ini. Walau bagaimanapun, sahihkah kita
berkata bahawa rakyat Singapura memang tidak mempunyai budi pekerti yang tinggi
memandangkan ada banyak pendapat-pendapat yang berbeza? Sebilangan besar rakyat
Singapura memang berbudi bahasa tetapi ada segelintir rakyat Singapura yang
terpengaruh dengan pelbagai isu-isu yang membuat mereka ketandusan budi pekerti
yang tinggi.
Hakikatnya, nilai-nilai ketimuran
yang diterapkan pada diri kita membentuk gaya hidup kita yang penuh budi
pekerti. Ketika berusia muda, tentu majoriti ibu bapa kita telah cuba sedaya
upaya untuk memupuk sifat-sifat murni dalam diri kita, terutamanya sifat
berbudi bahasa. Apatah lagi, pada zaman dahulu, ramai ibu bapa yang lebih
mementingkan pendidikan dari segi nilai-nilai daripada kejayaan dalam bidang
akademik. Rakyat Singapura yang telah dibesarkan dalam zaman tersebut tentu
berbudi pekerti kerana ibu bapa mereka telah mendidik mereka supaya bersopan
santun sewaktu kecil kerana mereka percaya bahawa jika hendak mendidik anak
biarlah sejak kecil lagi bak kata pepatah, “melentur buluh, biarlah daripada
rebungnya” Justeru, rakyat Singapura bukan ketandusan sifat berbudi bahasa
kerana mereka telah diasuh sejak kecil lagi supaya sifat ini tersemai dalam
diri mereka.
Sehubungan dengan itu, tidak adil
untuk mengatakan bahawa rakyat Singapura tidak berbudi pekerti dengan adanya
program-program pemerintah yang menyemai sifat bertatasusila. Program-program
yang dijalankan oleh pemerintah ini bertujuan untuk membantu menerapkan
nilai-nilai murni dalam rakyat-rakyat Singapura. Sebagai contoh, Hari
Keharmonian Kaum yang disambut di Singapura setiap tahun menggalakkan rakyat
Singapura untuk berbudi bahasa dengan orang lain, tanpa mengira bangsa. Ini
merupakan hanya satu di antara banyak acara yang dianjurkan pemerintah
Singapura setiap tahun bagi memupuk sifat bertatasusila dalam rakyat-rakyat
Singapura. Lantas, jelaslah bahawa rakyat Singapura tidak kehabisan sifat
berbudi bahasa kerana sememangnya, ia kerap digalakkan dalam negara ini dengan
penuh sokongan daripada rakyat-rakyat.
Jika dilihat dari sudut yang lain,
rakyat Singapura mudah terpengaruh dengan media Barat yang seringkali
memaparkan budaya kurang sihat. Ramai rakyat Singapura menonton media yang
berasal daripada negara-negara Barat. Ada di antara media Barat yang
mempromosikan sikap kurang baik dan oleh kerana terlalu asyik menontonnya,
rakyat Singapura terpengaruh dengan sikap yang ditunjukkan dalam media ini lalu
mengamalkan sikap yang sama dalam kehidupan seharian mereka. Mentelah itu,
rakyat Singapura alpa akan peri pentingnya berbudi bahasa terhadap orang lain. Akibatnya,
rakyat Singapura kurang berbudi bahasa dalam kehidupan seharian mereka.
Di dalam era yang dihimpit
pelbagai tekanan dan tuntutan, sebilangan besar rakyat Singapura menumpukan
lebih perhatian kepada isu-isu harian sehinggakan mengabaikan sifat budi
pekerti. Tamsilnya, rakyat Singapura terlalu taksub mengejar 5K (kondominium,
kerjaya, kad kredit, kereta dan kelab) sehinggakan mereka tergamak membuat apa
sahaja untuk mencapainya. Ini termasuk bersikap kurang mesra ataupun bertatasusila
terhadap orang lain supaya dapat mencapai 5K ini. Oleh demikian, mereka tidak
mempunyai sifat budi pekerti kerana hanya mementingkan kejayaan diri sendiri.
Bagi memupuk sifat berbudi pekerti
dalam rakyat Singapura, pihak sekolah boleh menggabungkan sifat tersebut dalam
mata pelajaran sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh menyertakan sifat
berbudi bahasa dalam mata pelajaran inggeris – mengajar bagaimana untuk
berbicara dengan sopan santun, menjelaskan peri pentingnya bertatasusila dan sebagainya.
Dalam pada itu, para pelajar akan lebih tahu dengan mendalam tentang sifat
berbudi pekerti dan akan cuba untuk mengamalkannya.
Kedua, ibu bapa memainkan peranan
penting dalam membentuk perwatakan anak-anak mereka. Justeru, mereka perlu
mendidik anak-anak mereka dengan memupuk sifat berbudi pekerti dalam diri
mereka. Mereka boleh membuat ini dengan menegur anak-anak mereka jika mereka
bersikap kurang ajar terhadap orang-orang lain. Dengan itu, anak-anak mereka
harap-harap akan mematuhi ajaran mereka kerana ibu bapa adalah orang yang
paling dihormati oleh si anak.
Ketiga dan terakhir, pihak
pemerintah perlu memainkan peranan yang lebih aktif demi memastikan bahawa
sifat berbudi pekerti ini dipupuk dalam hampir setiap rakyat Singapura. Selain
menjalankan acara-acara seperti Hari Keharmonian Kaum dan Minggu Jiran, pihak
pemerintah boleh menganugerahkan para pelayan yang menunjukkan tahap budi
bahasa yang tinggi. Ini akan menggalakan pelayan-pelayan itu untuk terus
berbudi bahasa dengan para pelanggan dan juga akan mendorong pelayan-pelayan
lain untuk berbudi pekerti.
Natijahnya, sifat budi pekerti
memang masih wujud dalam kalangan rakyat Singapura tetapi lebih boleh dilakukan
bagi meningkatkan tahap budi bahasa di negara ini kerana sifat ini merupakan
sifat yang amat penting.
1 comment:
Idea & saranan yang menarik dan baik..Karangan contoh yang terbaik!
Post a Comment