Karangan
Naufal Rafi / 4K / 25
Rakyat Singapura ketandusan budi pekerti yang tinggi.
Bincangkan.
Sejak jaman azali, budi pekerti
amat dititikberatkan dalam kehidupan harian. Sama halnya di Singapura, sejak
zaman-berzaman, budi pekerti ialah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan
masyarakatnya. Budi pekerti ini termasuklah tutur kata dan budi bicara yang
baik, keikhlasan, kejujuran, kebenaran, sifat permurah, ihsan, bertimbang rasa,
tolong –menolong, berjasa dan berbakti. Namun, di zaman globalisasi ini, banyak
yang mempercayai bahawa budi pekerti yang tinggi telah tandus di tanah
Singapura kita ini. Adakah benar bagi kita untuk mempercayai ini? Apa sajakah
yang membuktikan bahawa hal ini memang benar?
Pertama, ketandusan budi pekerti
yang tinggi di Singapura amatlah ketara di tempat-tempat umum seperti di dalam
kereta api gerak cepat (MRT), di pemberhentian bas, dan lainnya. Keihsanan,
sifat pemurah, dan budi pekerti seperti bertimbang rasa seperti telah
terpadamkan di tempat-tempat ini. Contohnya, di dalam stesen-stesen MRT kita
boleh melihat ramai penumpang yang berdesakkan dan saling mendorong untuk dapat
memasukki kereta tersebut. Mereka semua mementingkan diri mereka sendiri tanpa keihsanan
untuk memperdulikan orang-orang lain meskipun mereka sedar bahawa apa yang
mereka lakukan sangatlah berbahaya bagi penumpang lainnya. Faktanya, terdapat
banyak penumpang kurang upaya seperti penumpang lanjut usia, penumpang yang
sedang mengandung, penumpang yang cidera dan lainnya. Bagi penumpang-penumpang
ini, berdesakkan untuk memasuki kereta sungguhlah berbahaya. Selanjutnya, di
dalam kereta itu sendiri banyak pula penumpang yang tidak sudi memberikan
tempat duduk mereka kepada penumpang-penumpang kurang upaya tersebut. Tentunya,
perilaku rakyat singapura yang tidak bertimbang rasa di tempat-tempat umum
seperti stesen MRT ini mencerminkan ketandusan budi pekerti yang tinggi.
Selain itu, ketandusan budi
pekerti rakyat Singapura boleh dilihat dari budi bahasa yang mereka pegang kuat
dalam kehidupan harian mereka. Budi bahasa ini tidaklah terhad kepada budi
bicara, tetapi juga kepada sikap yang diambil kira apabila menulis mesej dan
melakukan interaksi di alam maya seperti memuatnaikkan suatu komentar di
facebook. Namun, sikap sederhana seperti mengucapkan ‘terima kasih’ sahaja
sudah mula pudar dari kehidupan rakyat Singapura. Parahnya lagi, sekarang ini juga
terdapat semakin banyak kes-kes yang dipaparkan di dada-dada akhbar mengenai pembulian
siber. Salah satu bentuk dari pembulian siber ialah penggunaan sebarang
gangguan dan ancaman melalui perkataan-perkataan yang kasar dan tidak
menyenangkan yang tentunya menggambarkan kehinaan budi bahasa sang pelaku.
Dalam kes-kes seperti ini, tutur kata dan budi bicara seperti telah dilupakan
terang-terangan. Apabila terus dibiarkan, budi bahasa rakyat Singapura akan
semakin layu dan ini akan meremukkan budi pekerti rakyat Singapura secara
keseluruhan.
Tambahan lagi, gerai-gerai
makanan dan pusat-pusat perniagaan lainnya yang merupakan jantung daripada
keramaian hidup masyarakat Singapura malangnya justeru menunjukkan keruntuhan
budi pekerti rakyat Singapura. Rasa sabar dan saling mengerti satu sama lain
seperti telah sirna di beberapa tempat-tempat yang dipenuhi kesibukkan ini. Memang,
di zaman moden ini, manusia menjadi lebih praktikal dan lebih tertumpu kepada
isu-isu harian sehingga mengabaikan adab dan nilai. Semua orang seperti terlalu
menitikberatkan kepentingan mereka sendiri. Penjual mempertuankan nafkah dan
pembeli saling bersaing untuk mendapatkan apa yang mereak inginkan. Contoh yang
sering kita lihat ialah seperti penjual yang menengking kuat kepada seseorang
supaya tidak berdiri di ruang tempat dia keluar masuk gerainya atau penjual
yang tidak berterima kasih dan cepat marah apabila kita memesan sesuatu dari
gerainya. Budi pekerti seperti telah mati tenggelam didalam kesibukkan dan
kekacauan pusat-pusat perniagaan di Singapura.
Namun, percikan budi pekerti
masih boleh dilihat dalam kehidupan rakyat Singapura. Salah satunya ialah
ramainya rakyat singapura yang mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan
sosial yang mencerminkan budaya tolong-menolong, berjasa dan berbakti. Contohnya,
di tingkat sekolah banyak kegiatan sosial seperti Community Involvement
Projects (CIP) yang mendedahkan pelajar kepada budaya tolong-menolong. Selain
itu, rakyat singapura pasti sudah tidak asing kepada kempen-kempen yang
bertujuan untuk membantu kehidupan penduduk Singapura seperti kempen untuk
mengajar pemuda-pemudi untuk membantu dan menghormati warga emas. Adanya rasa
‘ingin membantu’ didalam hati rakyat Singapura membuktikan bahawa budi pekerti
di singapura belumlah tandus sepenuhnya dan masih ada harapan untuk memperbaiki
keadaan budi pekerti di negara ini.
Selain itu, Singapura juga masih
terkenal akan kualiti industri perkhidmatannya. Industri perkhidmatan
bergantung kepada kesantunan dan budi pekerti pekerjanya untuk menarik
pengunjung dan pelanggan. Contohnya, kita masih boleh melihat ramainya
pengunjung asing yang berdatangan untuk berlibur dan melancong di Singapura.
Tempat-tempat seperti Universal Studios pun menjadi terkenal akan keramahan dan
kesantunan para pekerjanya yang terus membantu para pengunjung dengan senyuman.
Tentunya ini membuktikan bahawa budi pekerti masihlah hidup dalam rakyat
Singapura.
Kesimpulannya, kita memang harus
menerima kenyataan pahit bahawa budi pekerti rakyat Singapura jatuh dibawah
tingkat budi pekerti yang tinggi dan cemerlang. Perilaku rakyat Singapura di
pelabagai tempat-tempat umum dan budi bahasa kebanyakan dari mereka
menggambarkan keruntuhan budi pekerti yang telah lama dititikberatkan di
Singapura. Namun, percikan harapan masih ada bagi memperbaiki budi pekerti ini
dengan adanya segelintir rakyat Singapura yang masih berbudi pekerti yang
tinggi. Oleh itu, para penduduk Singapura beserta dengan pihak-pihak lainnya
perlu berkerja sama bagi menyalakan semula sinar budi pekerti di Singapura dari
percikan yang masih tersedia sebelum ‘nasi menjadi bubur.’
Pertama sekali, dari tingkat paling dasar, orang tua sangatlah
penting bagi menjamin perilaku anak yang cemerlang dan membesarkan calon-calon
pelajar Singapura yang bernilai budi adab dan kesantunan. Orang tua mempunyai
pengaruh yang paling mendalam kepada hidup anak-anak mereka. Orang tua juga
secara automatik merupakan suritauladan bagi anak-anaknya, sama ada perilaku
orang tua itu bersifat terpuji atau justeru bersifat buruk. Oleh itu, orang tua
perlu berperanan mendidik anak-anak sejak awal lagi dengan menyemai budi bahasa
yang baik di rumah. Contohnya, ibu bapa perlu menggunakan bahasa yang baik dan
sopan untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal
dicontohi oleh anak-anak. Kata-kata yang kasar dan mencarut pula harus
dielakkan agar anak-anak tidak mencontoh perkataan-perkataan yang sungguh tidak
beradab tersebut. Dengan keikutsertaan orang tua dalam mendidik anak bangsa
Singapura, jalan bagi memupuk nilai murni adab dan kesantunan dalam diri setiap
pelajar Singapura akan terbuka lebar.
Selain itu, pihak sekolah pula
perlu memberikan pendidikan yang mendukung perkembangan peribadi para murid
sekolah tersebut. Di bangku sekolah, pelajar-pelajar perlu dididik dengan
pelajaran yang menitikberatkan tingkah laku yang mulia dan amalan sopan santun.
Contohnya, pelajaran perlu mengarahkan pelajar untuk menghargai perbezaan
pendapat dalam suatu kumpulan dan mempertahankan jalinan kerjasama yang kuat
bagi mencapai markah yang tinggi dalam mengerjakan suatu tugasan. Namun
demikian, kecurangan perlu diberikan amaran yang kuat. Ini akan memberikan
dorongan kepada pelajar untuk mendalami sifat yang beradab selagi mengerjar
markah yang cemerlang. Seperti kata para pujangga, hal ini ialah seperti
‘sambil menyelam minum air.’ Dengan menguatkuasakan pendidikan yang
bertitikberatkan kepada pembentukan sifat pelajar yang santun dan beradab ini, pelajar Singapura akan berakarkan sopan
santun dan nilai murni adab yang kukuh dan kuat.
Tambahan pula, pihak pemerintah
ataupun badan-badan pendidikan boleh menjalankan
kempen dan acara-acara yang menerapkan nilai-nilai murni seperti adab dan sopan
santun. Ini akan menarik banyak pelajar dan sehubungan dengan itu, semakin
banyak pelajar akan terdedahkan kepada nilai-nilai murni tersebut. Contohnya,
acara bulan bahasa tahun ini akan menerapkan adab dan nilai-nilai murni sebagai
bahagian dari objektif utamanya untuk mempromosikan bahasa Melayu. Acara yang
berlangsung setiap tahun ini selalu menarik perhatian banyak anak muda termasuk
para pelajar. Dengan ini, para pelajar Singapura pun boleh bersuka cita dan
belajar dari acara-acara yang disediakan serta mendapat pengajaran nilai-nilai
murni.
1 comment:
James
Saya melihat usaha yang baik dalam memberikan takrif yang jelas bagi frasa "budi pekerti" dengan memberikan sikap-sikap yang boleh dilihat dalam orang yang berbudi pekerti. Fakta bahawa budi pekerti telah dijunjung tinggi sejak zaman dahulu di Singapura juga terlihat di pengenalannya dan ini merupakan gambaran yang sangat baik.
Saya boleh melihat isi-isi yang diberikan boleh dijelaskan dengan cukup terperinci. Namun, ada beberapa perenggan yang belum diberikan contoh yang berguna untuk mengembangkan isi supaya lebih jelas. Contohnya, dalam isi tentang budi pekerti yang tandus dalam berbudi bahasa, anda boleh memberikan contoh bagi pembulian siber, seperti mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mengatakan bahawa ada lebih banyak anjing daripada manusia di Singapura. Contoh seperti itu boleh mengembangkan isi-isi anda dan pembaca juga boleh memahami isi-isi yang disampaikan dengan lebih baik.
Saya juga boleh melihat ada beberapa kesalahan bahasa dalam karangan ini. Contohnya adalah kata "memperdulikan" yang seharusnya "mempedulikan".
Menurut saya, perenggan penutup yang ditulis sangat baik. Anda berhasil meringkaskan isi karangan anda dengan menulis bahawa meskipun budi pekerti tidak terlalu ketara di Singapura saat ini, masih ada harapan bagi Singapura untuk membentuk masyarakat yang sopan dan berbudi pekerti. Saya juga menyukai penggunaan peribahasa "nasi belum menjadi bubur" yang mengatakan bahawa perkara ini masih boleh diperbaik lagi
Post a Comment