Sunday, September 23, 2012

Karangan Budi (8)


Bahasa Melayu Lanjutan Menengah Empat

Karangan Ekspositori

Oleh Danial Matin (11) 4A

 

Rakyat Singapura ketandusan budi pekerti yang tinggi. Bincangkan.

 

            Sejak kebelakangan ini, sering kita mendengar mahupun terbaca di dada-dada akhbar bahawa sifat budi pekerti semakin terhakis di rakyat Singapura pada abad ke-21an di samping arus perkembangan teknologi. Akibat penyejagatan, kita lebih terdedah kepada pengaruh oleh pelbagai anasir-anasir baik mahupun buruk. Malah, budi pekerti termasuk beradab, bersopan santu dan berbudi bahasa yang dahulu merupakan sebahagian dari kehidupan kini berketandusan.

 

            Budi pekerti itu amat penting kerana budi itu menjadi lambang bangsa, terutamanya dalam negari berbilang bangsa seperti Singapura. Usah membina masyarakat yang mengejar kemajuan dan kebendaan tanpa memupuk sifat budi pekerti, jika tidak lahirlah masyarakat yang telah mundur. Dengan budi pekerti, silaturrahim dapat dijalin, rasa mahabbah dapat dipupuk dan sifat persaudaraan dapat disuburkan. Sehubungan dengan itu, nenek moyang kita dahulu menilai seseorang bukan daripada paras rupa, pangkat atau harta benda, tetapi daripada budi bahasa. Hakikatnya, rakyat Singapura kini dikatakan ketandusan budi pekerti kerana kebendaan telah pun menjadi lebih penting daripada budi pekerti yang dikesampingkan. Ini melambangkan kemunduran dalam nilai-nilai masyarakat kita, sehingga kempen-kempen seperti ‘Cinta Pengangkutan Awak’ terpaksa dilaksanakan oleh para pemerintah untuk menyuntik kesedaran ke dalam rakyat tentang peri pentingnya budi pekerti. Sebabnya ialah terdapat segolongan orang yang tidak sampai hati untuk menghulurkan tempat duduk mereka kepada golongan orang yang lebih memerlukannya seperti warga emas dan wanita hamil. Satu lagi contoh ialah remaja kini berasa bahawa budaya tekno menjadi aspek kebiasaan dalam kehidupan mereka, maka berpandangan bahawa teknologi yang terkini mencerminkan pangkat keperibadian mereka yang tinggi di mata rakan-rakan sebaya. Lantas,  keinginan mereka untuk memenuhi tuntutan barang-barang kebendaan menyebabkan mereka mengagung-agungkan kekayaan. Dalam kata-kata Encik Zaky Mohamad yang merupakan Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, “Dalam dunia hari ini, kita menjadi lebih praktikal dan lebih tertumpu kepada isu-isu harian sehingga mengabaikan adab dan nilai”.

 

            Tambahan lagi, ketandusan budi pekerti juga amat ketara di lapisan orang dewasa antara rakyat Singapura. Ibu bapa juga terlalu sibuk mengejar pencapaian lima K iaitu kerjaya, kad kredit, kereta, keanggotan kelab dan kondominium maka kurang meluangkan masa dengan anak-anaknya untuk menanam sikap bertatasusila yang baik dalam diri mereka. Ibu bapa pula tidak menjadi teladan yang contoh untuk anak-anak mereka apabila suka bercakap dengan meninggikan suara mereka. Sebagai contoh, terdapat majikan yang menengking pembantu rumah mereka jika membuat kesalahan sewaktu menjalankan tugas. Bak kata pepatah ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’, anak-anaknya akan terikut-ikut dengan sikap kasar yang tidak mengawal penggunaan bahasanya. Amat mendukacitakan apabila budaya berbudi bahasa ketika di rumah semakin pudar. Sejajar dengan itu, sudah tentulah setiap individu pernah bertemu dengan peniaga yang menengking kuat tanpa menunjukkan sopan santun sewaktu melayan pelanggannya. Adakah ini cara betul untuk menarik pelanggan? Sukar sangatlah kita mengukir senyuman atau mengucap salam kepada orang lain tidak kira saudara atau tidak seperti diterapkan dalam agama Islam? Jika kita mahu semakin maju ke arah masa hadapan yang lebih cerah, kita haruslah menyoalkan diri sendiri dan mengambil langkah yang betul untuk melahirkan masyarakat yang tidak sahaja maju dari segi teknologi dan ekonomi tetapi juga mengetengahkan budi pekerti yang tinggi.

 

            Namun, perjuangan ini bukan tanpa harapan. Masih ada segelintir rakyat Singapura yang masih memupuk nilai budi pekerti dan telah menjadi inspirasi kepada orang di sekelilingnya untuk mengikut jejak langkahnya. Kita harus tetap yakin dan memupuk sikap optimis bahawa nilai budi pekerti boleh diperbangunkan lagi di masyarakat kita yang telah tersungkur di arus kemodenan. Budi dan paras rupa tidak seharusnya bertentangan. Beberapa langkah boleh diambil oleh pelbagai pihak termasuk diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan para pemerintah untuk mendidik rakyat Singapura supaya berbudi pekerti.

 

            Sebagai abang kakak, ibu bapa dan datuk nenek yang bertanggungjawab, kita memainkan peranan peribadi yang utama dalam menanam sikap berbudi pekerti dalam generasi muda bagi membentukkan watan budiman. Jika kita mahu orang lain untuk mengubah sikapnya, sikap kita sendiri perlu berubah dahulu. Seperti yang dibentangkan di atas, ibu bapa harus menjadi teladan dan mencontohi sikap berbudi pekerti supaya anak-anaknya akan turut mengikutinya. Anak-anak mesti dididik dari usia muda lagi untuk bersopan santun dan memupuk tatasusila yang baik supaya membesar menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri seperti tidak peka terhadap keperluan orang lain di sekelilingnya. Para ibu bapa usah terlalu lembut kerana tidak berani menegur sikap kasar anak-anaknya yang dipengaruhi rakan-rakannya di sekolah. Ini akan menyebabkan anaknya sendiri terus bersikap kurang sopan kepada orang tuanya dan akan menjadi tabiat buruk yand dibawa sehingga dewasa. Hal ini penting untuk mewujudkan suasana yang baik dan harmoni dalam keluarga yang bakal dicontohi oleh anak-anak. Kita juga harus sentiasa sedar tentang penggunaan bahasa kita kerana ia akan melambangkan bangsa kita. Budi pekerti kita tidak terpisah daripada bahasa yang kita gunakan. Usah biarkan identiti kita sebagai masyarakat yang menghargai budi pekerti yang baik ditelan masa. Biasakan diri dengan bersikap terpuji dan mulia yang berkesan dalam pergaulan setiap hari serta rasailah nikmatnya.

 

 

            Lagipun, pendidikan agama boleh diperkukuhkan. Ini juga sejajar dengan seruan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan menraikan kepelbagaian bangsa. Agama secara semulajadi membimbing kita untuk menerapkan nilai-nilai mulia sewaktu menjalani tugas seharian. Asas ajaran banyak agama  menggalakkan kita untuk menaburkan jasa dan bakti melalui bahasa yang sempurna. Menurut Imam Syafie yang beragama Islam, memilih kata-kata yang baik dan pantas adalah termasuk budi pekerti yang dicontohi nabi-nabi dahulu. Secara jelas, pendidikan agama dari usia muda diperlukan supaya anak-anak kita diajar nilai-nilai yang betul dan mempunyai pegangan kepada budi pekerti yang teguh. Begini, mereka lebih senang membezakan antara tatasusila yang baik dan yang buruk.

 

            Tambahan lagi, pemerintah patut mengekalkan kempen-kempen yang menggalakkan pelestarian budi pekerti supaya sentiasa mengingati kita betapa pentingnya untuk bersopan santun antara satu sama lain. Keberkesanan kempen-kempen tersebut perlu disemak dan diperbaiki dengan memanfaatkan maklum balasa orang awam. Kempen ‘Cinta Pengangkutan Anda’ oleh SMRT merupakan salah satu ikhtiar para pemerintah bagi menggalakkan para penumpang untuk berbaik budi dan menghulurkan tempat duduk kepada orang yang lebih memerlukannya. Sokongan para pemerintah amat diperlukan jika mahu membina masyarakat harmoni yang mengetengahkan budi pekerti. Melalui kempen-kempen ini, rakyat Singapura diharapkan menjadi lebih berbudi pekerti dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja.  Kita dapat lihat bahawa cara bagi memperkukuhkan budi pekerti yang dinggi di antara rakyat Singapura memerlukan beberapa pihak berganding bahu.

 

            Sewajarnya, aspirasi Singapura untuk menjadi bandar global yang unggul perlu dicapai dengan kekayaan masyarakat dalam kedua-dua aspek material dan budi. Rakyat Singapura tidak boleh dijadikan lambang ketandusan budi pekerti dalam negeri maju yang lebih mementingkan kejayaan kerjaya serta kebendaan. Untuk maju lagi ke hadapan, kita harus ingat untuk memupuk nilai-nilai yang murni melali budi pekerti dan budi bahasa kita. Orang yang besar dari segi pangkat atau mulia tidak akan hilang martabatnya jika dia merendahkan dirinya sekalipun, bak kata pepatah, ‘jika ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya’. Budi pekerti yang tinggi hanya akan mendatangkan lebih manfaat kepada negeri Singapura yang masih lagi berkembang.

1 comment:

Anonymous said...

Perenggan pertama mempunyai definasi yang tepat dan juga gambaran isi-isi yang akan dibincangkan.

Saya rasa bahawa Danial pandai menggunakan contoh yang relevan dengan topik tersebut. Seperti memberi nama kempen yang dilaksanakan para pemerintah yang dinamakan, ‘Cinta Pengangkutan Awak’ dan Kempen ‘Cinta Pengangkutan Anda’ oleh SMRT. Selain daripada itu, contoh seperti 5 k juga dapat menggambarkan topik tersebut dengan lebih jelas. Dengan memberitahu daripada mana seseorang dan jugan nama penuh mereka juga memberi imej yang baik bagi pembaca. Seperti, Encik Zaky Mohamad yang merupakan Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, Imam Syafie yang beragama Islam dan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong. Ini menunjukkan bahawa Danial telah membaca nota-nota dan dapat menggunakan apa yang dipelajari dalam karangannya. Tambahan pula, dia juga dapat menggunakan kosa kata yang berbunga dan juga bahasa yang baik dan lancar. Manakala itu, selain daripada menggunakan penanda wacana 'namun', Danial pun boleh menggunakan seperti 'pada hemat yang berbeza' ataupun 'pada sudut yang lain'.

Bagi perenggan penutup, Danial telah menunjukkan aspek yang berbeza. Saya rasa bahawa Danial telah berjaya merumuskan isi-isi semua dan jelaskan sekali lagi untuk menunjuk kepentingan berbudi bahasa.


-AizatJufrie