Ahmad Musthofa
Rakyat Singapura
ketandusan budi pekerti yang tinggi. Bincangkan.
Budi pekerti
mencerminkan tamadun dan tatatertib sebuah masyarakat atau bangsa, dan
merangkumi budi bicara yang baik dan sopan, keikhlasan, kejujuran, sifat
pemurah, bertimbang rasa, tolong-menolong dan sebagainya. Paras rupa, pangkat
atau harta benda bukan ukuran, sebaliknya, budi pekerti menjadi junjungan. Bak
kata cendekiawan, “Ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.” Tiada
gunanya jika seseorang kelihatan segak dan mempunyai pencapaian mengagumkan,
tetapi tidak mempunyai budi pekerti yang mulia. Budi pekerti merupakan aspek
keperibadian yang menentukan tingkah laku dan akhlak seseorang. Peranan budi pekerti di dalam konteks semasa
Singapura amat penting bagi memastikan masyarakat yang saling hormat-menghormati
dan hidup harmoni serta berusaha mengekalkan kesantunan. Budi bahasa adalah kunci
kepada pembangunan sahsiah rakyat dan remaja, sebagai generasi pelapis. Namun,
kewujudan budi pekerti di kalangan rakyat Singapura boleh diperdebatkan, dengan
tanda-tanda yang mendukacitakan dan menunjukkan bahawa kita masih di takuk lama
walaupun Singapura sudah maju. Persoalannya, adakah warga Singapura benar-benar
ketandusan budi pekerti?
Warga
Singapura yang ketandusan budi pekerti boleh dilihat di tempat awam. Memang
lazim kita melihat warga Singapura memaparkan sikap dan kelakuan yang kurang
sopan dan mementingkan diri sendiri. Budi pekerti bermaksud bersikap sopan dan
peramah, dan sentiasa senyum dan
berhati-hati apabila berbicara supaya tidak menyakiti perasaan orang lain.
Namun, di dalam kereta api gerak cepat (MRT) kita sering melihat warga muda,
terutama remaja, kurang endahkan orang di sekeliling mereka yang memerlukan.
Tamsilnya, ada segelintir orang yang tidak rela memberi duduk kepada warga tua
yang sudah uzur atau orang yang cacat. Sikap mementingkan diri amat ketara di
kalangan warga Singapura sehingga tidak memberi perhatian kepada orang di
sekeliling mereka. Sering dilihat di pengangkutan awam penumpang menolak satu
sama lain demi mendapatkan tempat duduk. Kita jarang melihat warga Singapura
senyum kepada orang lain dan meminta maaf jika tersilap kata atau terlanjur kelakuan.
Ketandusan budi pekerti asas memang sering diperhatikan dalam kalangan warga
Singapura kerana manifestasi sikap mementingkan diri sendiri berleluasa
terutamanya di tempat awam.
Sejajar dengan itu, ibu bapa kurang menekankan kepentingan budi pekerti dan mengesampingkannya. Di dalam era modenisasi kini, ibu bapa lebih prihatan dengan prestasi anak di sekolah dan pencapaian-pencapaian akademik sehingga menganaktirikan budi pekerti dan nilai-nilai murni ketika mengasuh anak-anak mereka. Akibat trend yang semakin merunsingkan ini, ramai remaja kurang dididik budi pekerti yang sesuai serta nilai-nilai yang sepatutnya disemai oleh ibu bapa dari muda. Mereka membangun ketandusan budi pekerti asas. Sebagai generasi pelapis yang akan berperanan sebagai tiang bangsa dan negara, mereka sepatutnya diajar tentang budi pekerti oleh ibu bapa mereka. Sebaliknya, ibu bapa lebih asyik memastikan anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran sehingga lupa menyemai nilai-nilai penting yang membentuk jati diri serta budi pekerti si anak. Jikalau ibu bapa kurang sedar akan kepentingan peranan mereka ini, mereka akan mempengaruh anak-anak mereka dan mereka juga akan memandang enteng kepentingan budi pekerti. Bak kata pepatah, “bagaimana acuan begitulah kuihnya.”
Bertititik
tolak dari itu, media massa juga merupakan faktor yang menyebabkan warga Singapura
bergelumang dengan anasir-anasir negatif akibat ketandusan budi pekerti.
Hiburan yang dipaparkan di televisyen berunsur negatif dan ia kurang menekankan
nilai-nilai positif. Penggunaan bahasa yang kurang sopan dan tidak sesuai akan
mempengaruhi ramai rakyat Singapura supaya berkelakuan sebegitu. Kuasa media
massa di kalangan masyarakat yang semakin bersehubungan akibat teknologi
bermakna apa yang dipaparkan di televisyen atau melalui radio dapat membawa
kesan yang mendalam kepada fabrik masyarakat. Oleh itu, media massa yang
seringkali membawa mesej negatif seperti mengalu-alukan gejala-gejala sosial
serta kelakuan yang kurang senonoh, akan menjejas budi pekerti rakyat Singapura
serta sikap mereka antara satu sama lain.
Bertentangan
dengan itu, rakyat Singapura sememangnya mempunyai budi pekerti yang tinggi. Di
dalam suasana masyarakat yang dimakmurkan pelbagai budaya dan agama,
nilai-nilai positif yang diterapkan di dalam adat dan tradisi pelbagai budaya
ini dapat mempengaruhi warga Singapura supaya menjadi lebih waras akan kelakuan
dan budi bahasa mereka. Setiap budaya yang wujud di Singapura mengalu-alukan
sikap-sikap positif yang berkaitan dengan budi pekerti. Misalnya, budaya Melayu
dan agama Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu dan
bersopan apabila memulakan percakapan atau memasuki sebuah tempat. Yang muda
beri salam kepada yang tua dan yang mendatangi memberi salam kepada yang sedia
menunggu. Budaya Cina juga mengalu-alukan “filial
piety” di mana anak-anak diwajibkan menuntut dan menghormati arahan dan
nasihat orang tua supaya jalinan hubungan yang harmoni dapat dikekalkan. Adat
ini, bercampur aduk dengan adat-adat lain daripada pelbagai budaya dan agama,
dapat mempengaruhi kelakuan warga Singapura dan wujudnya budi pekerti tinggi di
kalangan kita.
Untuk kekalkan budi pekerti tinggi di kalangan warga
Singapura dan menyelesaikan masalah-masalah yang sedang menghambat usaha-usaha
ini, haruslah ada saranan-saranan yang boleh diimplimentasikan. Pertama sekali,
sebuah kempen boleh diadakan untuk menggalakkan warga Singapura untuk
mengekalkan tahap budi pekerti yang tinggi. Contohnya, dengan menggunakan cogan
kata yang unik dan senang difahami orang dari semua lapisan masyarakat, mereka
akan lebih terdorong untuk memantapkan lagi budi pekerti dan kelakuan mereka.
Dengan menggunakan pelbagai media dan platform untuk menyampaikan mesej ini,
lebih mendalamlah kesan kempen ini. Contohnya, di dalam MRT, mungkin boleh
dipaparkan mesej-mesej yang mengalu-alukan sikap saling menyayangi dan
menghormati serta memberi perhatian kepada mereka yang memerlukan tempat duduk.
Juga di televisyen dan radio, warga Singapura boleh digalakkan untuk berusaha
memantapkan budi pekerti dengan menjaga kelakuan dan bicara, atau senyum
sentiasa kepada orang di sekeliling mereka. Melalui penyebaran kempen yang
ekstensif seperti ini, lebih ramai warga Singapura akan lebih teruja untuk
mengekalkan budi pekerti yang tinggi.
Selain itu, ibu bapa seharusnya giat memainkan peranan
mereka dan laksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih proaktif supaya
pengasuhan anak mereka tidak terlalu fokus kepada pencapaian akademik dan
duniawi. Sebaliknya, ibu bapa harus menyuntik nilai-nilai positif dan
tatatertib senonoh kepada anak-anak mereka supaya budi pekerti mereka dimantapkan
seiringan dengan pembangunan akhlak dan keperibadian mereka. Mereka tidak
sepatutnya menumpukan perhatian dan menekankan kepentingan pencapaian akademik,
tetapi sebaliknya mengasuh anak mereka supaya mereka mengenal peri pentingnya
budi pekerti dan akhlak baik, dan kemudian mendewasa dengan sikap yang positif.
Percakapan antara suami dan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara
anggota keluarga di rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan
supaya bahasa yang halus dan dapat dibiasakan di rumah. Jika ibu bapa mengajar
anak mereka dengan betul sejak muda, proses membentuk budi pekerti yang tinggi
akan menjadi lebih mudah, ibarat kata mutiara “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”.
Pihak sekolah juga mampu memainkan peranan penting di
dalam usaha mengalu-alukan budi pekerti yang tinggi. Memandangkan remaja dan
warga muda meluangkan kebanyakan masa di sekolah, persekitaraan sekolah haruslah
diperkayakan dengan penyemaian nilai-nilai positif dengan tujuan remaja
menitikberatkan budi pekerti. Contohnya, di sekolah, Sivik dan Pendidikan Moral
(CME) boleh diajar supaya pedidikan asas tentang moral dapat mengukuhkan budi
pekerti asas remaja. Mereka akan lebih terdedah kepada unsur-unsur positif
seperti ini dan akan teruja untuk mengimplimentasikan apa yang diajar di
sekolah melalui kelakuan dan akhlak mereka terhadap orang lain. Kuasa pihak
sekolah tidak patut dipandang rendah, malah, pendidikan asas budi pekerti hanya
boleh dijalankan melalui tangan dan kaki pendidik di sekolah-sekolah. Nescaya,
pihak sekolah mempunyai tanggungjawab memastikan warga muda Singapura diajar
budi pekerti.
Akhir kalam, ketandusan budi pekerti sememangnya lejangan
sosial yang mampu meporakperandakan keharmonian dan ketenteramaan Singapura.
Warga Singapura harus berusaha memantapkan budi pekerti mereka dan
tanggungjawab untuk memastikan warga muda Singapura kekal berbudi pekerti
bersandar di bahu pemerintah, ibu bapa dan sekolah-sekolah. Generasi pelapis
ini kemudian akan dewasa dengan jati diri yang kukuh serta budi pekerti yang
tinggi. Semua pihak harus melipatgandakan usaha dan bekerjasama untuk
menyelesaikan masalah ini dan menjamin masyarakat Singapura yang saling
menyayangi dan harmoni.
1 comment:
Perenggan Pengenalan:
-Pelajar memberi gambaran dan kesinambungan yang baik
>pelajar telah mula dengan memberi definisi tentang topik yang dibincangkan
>kemudian, pelajar fokus kepada sikap berbudi pekerti dalam seorang individu
>pelajar lalu berbincang dalam konteks masyarakat Singapura
-Penggunaan peribahasa yang sungguh sesuai
-Persoalan yang tepat sekali
-Bahasa yang diggunakan molek dan terdapat banyak kosa kata
Perenggan isi:
-Gambaran masalah terperinci
>Pelajar memberi contoh-contoh yang kukuh bagi kedua-dua sudut pandangan
>contoh-contoh yang diberi sesuai dan relevan kerana pelajar memastikan contoh yang diberinya berdasarkan konteks Singapura dan tidak menyeleweng
-Penanda wacana serta kosa kata yang digunakan baik sekali
-Peribahasa juga digunakan
-Sedikit kesilapan bahasa sahaja
Perenggan Penutup:
-Pelajar memberi kesimpulan tetapi tidak menjelaskan dengan lebih terperinci
>Pelajar telah memberi banyak bukti untuk menyokong kedua-dua sudut pandangan tetapt tidak menjelaskan kesimpulannya dengan menggunakan isi yang telah ditulisnya itu
-Pelajar memberi tekanan kepada isu tersebut
>pelajar menulis tentang bagaimana pihak-pihak tertentu harus bermain peranan mereka dalam menyelesaikan masalah tersebut
-Pelajar tidak tulis akibatnya jika masalah tidak diselesaikan
>Namun, pelajar telah pun menyatakan bahawa generasi muda akan meningkat dewasadan mengambil alih tampuk kepimpinan negara jadi ini seolah-olah gambaran masa hadapan
BAIK MUS!!!
Ashraf
Post a Comment