Sunday, September 23, 2012

Karangan Budi (10)


Ahmad Musthofa                                                                                   

Rakyat Singapura ketandusan budi pekerti yang tinggi. Bincangkan.

Budi pekerti mencerminkan tamadun dan tatatertib sebuah masyarakat atau bangsa, dan merangkumi budi bicara yang baik dan sopan, keikhlasan, kejujuran, sifat pemurah, bertimbang rasa, tolong-menolong dan sebagainya. Paras rupa, pangkat atau harta benda bukan ukuran, sebaliknya, budi pekerti menjadi junjungan. Bak kata cendekiawan, “Ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.” Tiada gunanya jika seseorang kelihatan segak dan mempunyai pencapaian mengagumkan, tetapi tidak mempunyai budi pekerti yang mulia. Budi pekerti merupakan aspek keperibadian yang menentukan tingkah laku dan akhlak seseorang.  Peranan budi pekerti di dalam konteks semasa Singapura amat penting bagi memastikan masyarakat yang saling hormat-menghormati dan hidup harmoni serta berusaha mengekalkan kesantunan. Budi bahasa adalah kunci kepada pembangunan sahsiah rakyat dan remaja, sebagai generasi pelapis. Namun, kewujudan budi pekerti di kalangan rakyat Singapura boleh diperdebatkan, dengan tanda-tanda yang mendukacitakan dan menunjukkan bahawa kita masih di takuk lama walaupun Singapura sudah maju. Persoalannya, adakah warga Singapura benar-benar ketandusan budi pekerti?

Warga Singapura yang ketandusan budi pekerti boleh dilihat di tempat awam. Memang lazim kita melihat warga Singapura memaparkan sikap dan kelakuan yang kurang sopan dan mementingkan diri sendiri. Budi pekerti bermaksud bersikap sopan dan peramah,  dan sentiasa senyum dan berhati-hati apabila berbicara supaya tidak menyakiti perasaan orang lain. Namun, di dalam kereta api gerak cepat (MRT) kita sering melihat warga muda, terutama remaja, kurang endahkan orang di sekeliling mereka yang memerlukan. Tamsilnya, ada segelintir orang yang tidak rela memberi duduk kepada warga tua yang sudah uzur atau orang yang cacat. Sikap mementingkan diri amat ketara di kalangan warga Singapura sehingga tidak memberi perhatian kepada orang di sekeliling mereka. Sering dilihat di pengangkutan awam penumpang menolak satu sama lain demi mendapatkan tempat duduk. Kita jarang melihat warga Singapura senyum kepada orang lain dan meminta maaf jika tersilap kata atau terlanjur kelakuan. Ketandusan budi pekerti asas memang sering diperhatikan dalam kalangan warga Singapura kerana manifestasi sikap mementingkan diri sendiri berleluasa terutamanya di tempat awam.

           Sejajar dengan itu, ibu bapa kurang menekankan kepentingan budi pekerti dan mengesampingkannya. Di dalam era modenisasi kini, ibu bapa lebih prihatan dengan prestasi anak di sekolah dan pencapaian-pencapaian akademik sehingga menganaktirikan budi pekerti dan nilai-nilai murni ketika mengasuh anak-anak mereka. Akibat trend yang semakin merunsingkan ini, ramai remaja kurang dididik budi pekerti yang sesuai serta nilai-nilai yang sepatutnya disemai oleh ibu bapa dari muda. Mereka membangun ketandusan budi pekerti asas. Sebagai generasi pelapis yang akan berperanan sebagai tiang bangsa dan negara, mereka sepatutnya diajar tentang budi pekerti oleh ibu bapa mereka. Sebaliknya, ibu bapa lebih asyik memastikan anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran sehingga lupa menyemai nilai-nilai penting yang membentuk jati diri serta budi pekerti si anak. Jikalau ibu bapa kurang sedar akan kepentingan peranan mereka ini, mereka akan mempengaruh anak-anak mereka dan mereka juga akan memandang enteng kepentingan budi pekerti. Bak kata pepatah, “bagaimana acuan begitulah kuihnya.”

Bertititik tolak dari itu, media massa juga merupakan faktor yang menyebabkan warga Singapura bergelumang dengan anasir-anasir negatif akibat ketandusan budi pekerti. Hiburan yang dipaparkan di televisyen berunsur negatif dan ia kurang menekankan nilai-nilai positif. Penggunaan bahasa yang kurang sopan dan tidak sesuai akan mempengaruhi ramai rakyat Singapura supaya berkelakuan sebegitu. Kuasa media massa di kalangan masyarakat yang semakin bersehubungan akibat teknologi bermakna apa yang dipaparkan di televisyen atau melalui radio dapat membawa kesan yang mendalam kepada fabrik masyarakat. Oleh itu, media massa yang seringkali membawa mesej negatif seperti mengalu-alukan gejala-gejala sosial serta kelakuan yang kurang senonoh, akan menjejas budi pekerti rakyat Singapura serta sikap mereka antara satu sama lain.

Bertentangan dengan itu, rakyat Singapura sememangnya mempunyai budi pekerti yang tinggi. Di dalam suasana masyarakat yang dimakmurkan pelbagai budaya dan agama, nilai-nilai positif yang diterapkan di dalam adat dan tradisi pelbagai budaya ini dapat mempengaruhi warga Singapura supaya menjadi lebih waras akan kelakuan dan budi bahasa mereka. Setiap budaya yang wujud di Singapura mengalu-alukan sikap-sikap positif yang berkaitan dengan budi pekerti. Misalnya, budaya Melayu dan agama Islam menganjurkan penganutnya memberikan salam apabila bertemu dan bersopan apabila memulakan percakapan atau memasuki sebuah tempat. Yang muda beri salam kepada yang tua dan yang mendatangi memberi salam kepada yang sedia menunggu. Budaya Cina juga mengalu-alukan “filial piety” di mana anak-anak diwajibkan menuntut dan menghormati arahan dan nasihat orang tua supaya jalinan hubungan yang harmoni dapat dikekalkan. Adat ini, bercampur aduk dengan adat-adat lain daripada pelbagai budaya dan agama, dapat mempengaruhi kelakuan warga Singapura dan wujudnya budi pekerti tinggi di kalangan kita.

            Untuk kekalkan budi pekerti tinggi di kalangan warga Singapura dan menyelesaikan masalah-masalah yang sedang menghambat usaha-usaha ini, haruslah ada saranan-saranan yang boleh diimplimentasikan. Pertama sekali, sebuah kempen boleh diadakan untuk menggalakkan warga Singapura untuk mengekalkan tahap budi pekerti yang tinggi. Contohnya, dengan menggunakan cogan kata yang unik dan senang difahami orang dari semua lapisan masyarakat, mereka akan lebih terdorong untuk memantapkan lagi budi pekerti dan kelakuan mereka. Dengan menggunakan pelbagai media dan platform untuk menyampaikan mesej ini, lebih mendalamlah kesan kempen ini. Contohnya, di dalam MRT, mungkin boleh dipaparkan mesej-mesej yang mengalu-alukan sikap saling menyayangi dan menghormati serta memberi perhatian kepada mereka yang memerlukan tempat duduk. Juga di televisyen dan radio, warga Singapura boleh digalakkan untuk berusaha memantapkan budi pekerti dengan menjaga kelakuan dan bicara, atau senyum sentiasa kepada orang di sekeliling mereka. Melalui penyebaran kempen yang ekstensif seperti ini, lebih ramai warga Singapura akan lebih teruja untuk mengekalkan budi pekerti yang tinggi.

            Selain itu, ibu bapa seharusnya giat memainkan peranan mereka dan laksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih proaktif supaya pengasuhan anak mereka tidak terlalu fokus kepada pencapaian akademik dan duniawi. Sebaliknya, ibu bapa harus menyuntik nilai-nilai positif dan tatatertib senonoh kepada anak-anak mereka supaya budi pekerti mereka dimantapkan seiringan dengan pembangunan akhlak dan keperibadian mereka. Mereka tidak sepatutnya menumpukan perhatian dan menekankan kepentingan pencapaian akademik, tetapi sebaliknya mengasuh anak mereka supaya mereka mengenal peri pentingnya budi pekerti dan akhlak baik, dan kemudian mendewasa dengan sikap yang positif. Percakapan antara suami dan isteri; ibu bapa dengan anak-anak; dan antara anggota keluarga di rumah sewajarnya menggunakan bahasa yang baik dan sopan supaya bahasa yang halus dan dapat dibiasakan di rumah. Jika ibu bapa mengajar anak mereka dengan betul sejak muda, proses membentuk budi pekerti yang tinggi akan menjadi lebih mudah, ibarat kata mutiara “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

            Pihak sekolah juga mampu memainkan peranan penting di dalam usaha mengalu-alukan budi pekerti yang tinggi. Memandangkan remaja dan warga muda meluangkan kebanyakan masa di sekolah, persekitaraan sekolah haruslah diperkayakan dengan penyemaian nilai-nilai positif dengan tujuan remaja menitikberatkan budi pekerti. Contohnya, di sekolah, Sivik dan Pendidikan Moral (CME) boleh diajar supaya pedidikan asas tentang moral dapat mengukuhkan budi pekerti asas remaja. Mereka akan lebih terdedah kepada unsur-unsur positif seperti ini dan akan teruja untuk mengimplimentasikan apa yang diajar di sekolah melalui kelakuan dan akhlak mereka terhadap orang lain. Kuasa pihak sekolah tidak patut dipandang rendah, malah, pendidikan asas budi pekerti hanya boleh dijalankan melalui tangan dan kaki pendidik di sekolah-sekolah. Nescaya, pihak sekolah mempunyai tanggungjawab memastikan warga muda Singapura diajar budi pekerti.

            Akhir kalam, ketandusan budi pekerti sememangnya lejangan sosial yang mampu meporakperandakan keharmonian dan ketenteramaan Singapura. Warga Singapura harus berusaha memantapkan budi pekerti mereka dan tanggungjawab untuk memastikan warga muda Singapura kekal berbudi pekerti bersandar di bahu pemerintah, ibu bapa dan sekolah-sekolah. Generasi pelapis ini kemudian akan dewasa dengan jati diri yang kukuh serta budi pekerti yang tinggi. Semua pihak harus melipatgandakan usaha dan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini dan menjamin masyarakat Singapura yang saling menyayangi dan harmoni.

 

1 comment:

Anonymous said...

Perenggan Pengenalan:

-Pelajar memberi gambaran dan kesinambungan yang baik
>pelajar telah mula dengan memberi definisi tentang topik yang dibincangkan
>kemudian, pelajar fokus kepada sikap berbudi pekerti dalam seorang individu
>pelajar lalu berbincang dalam konteks masyarakat Singapura
-Penggunaan peribahasa yang sungguh sesuai
-Persoalan yang tepat sekali
-Bahasa yang diggunakan molek dan terdapat banyak kosa kata

Perenggan isi:

-Gambaran masalah terperinci
>Pelajar memberi contoh-contoh yang kukuh bagi kedua-dua sudut pandangan
>contoh-contoh yang diberi sesuai dan relevan kerana pelajar memastikan contoh yang diberinya berdasarkan konteks Singapura dan tidak menyeleweng
-Penanda wacana serta kosa kata yang digunakan baik sekali
-Peribahasa juga digunakan
-Sedikit kesilapan bahasa sahaja

Perenggan Penutup:

-Pelajar memberi kesimpulan tetapi tidak menjelaskan dengan lebih terperinci
>Pelajar telah memberi banyak bukti untuk menyokong kedua-dua sudut pandangan tetapt tidak menjelaskan kesimpulannya dengan menggunakan isi yang telah ditulisnya itu
-Pelajar memberi tekanan kepada isu tersebut
>pelajar menulis tentang bagaimana pihak-pihak tertentu harus bermain peranan mereka dalam menyelesaikan masalah tersebut
-Pelajar tidak tulis akibatnya jika masalah tidak diselesaikan
>Namun, pelajar telah pun menyatakan bahawa generasi muda akan meningkat dewasadan mengambil alih tampuk kepimpinan negara jadi ini seolah-olah gambaran masa hadapan

BAIK MUS!!!

Ashraf